Wednesday, March 4, 2009

KENALI AL AZHAR..



Al-Azhar , Kiblat Ilmu Dunia Islam

UNIVERSITI AL-AZHAR
Universiti Al-Azhar diasaskan oleh Khalifah Mu’iz Dinillah Ma’ad Bin Al-Mansur, Khalifah IV semasa pemerintahan kerajaan Fatimiyah pada tahun 319-365 Hijrah bersamaan 931-975 Masihi. Ketika penubuhannya pada 06 Julai 969 Masihi, bandaraya Kaherah diisytiharkan sebagai ibu Negara Mesir. Setahun kemudian, panglima tentera bernama Jauhar As-Saqali telah diberi mandat untuk membina Masjid Al-Azhar pula.


MASJID AL-AZHAR

Nama Al-Azhar diambil sempena nama anak baginda Rasulullah S.A.W, Saiyidatina Fatimah Az-Zahra’ yang berkahwin dengan Khalifah Keempat Saiyidina Ali Bin Abi Talib. Masjid ini telah dibina oleh Jauhar As-Saqali di bandaraya Kaherah atas arahan Khalifah Fatimiah iaitu Al-Muiz Dinillah. Ia berasal daripada kata “Zahra” yang bermaksud bersinar, berkilau dan bercahaya. Kerja-kerja pembinaan masjid ini telah bermula pada 04 April 1970 Masihi bersamaan 24 Jamadil Awal 39 Hijrah dan siap dibina pada 22 Jun 972 Masihi besamaan 07 Ramadhan 361 Hijrah.


Pembinaan masjid ini mengambil masa selama 3 tahun. Pada tahun 378 Hijrah bersamaan 988 Masihi, wali kerajaan Abbasiah di Mesir, Ya’kub Bin Kals telah mencadangkan kepada Khalifah Aziz Billah untuk menaikkan status masjid kepada universiti dengan menawarkan pelbagai bentuk pengajian. Bermula dari saat itu, Negara Mesir mula disinari dengan kehadiran ulama’-ulama’ terbilang dari seluruh pelusuk dunia untuk menabur ilmu. Masjid ini juga dikenali sebagai Jami’ Al-Azhar.

Masjid ini berfungsi sebagai sebuah universiti buat pertama kalinya pada zaman pemerintahan kerajaan Mamalik. Pada tahun 1961 Masihi ia berubah menjadi sebuah university moden yang mempunyai beberapa fakulti. Al-Azhar dianggap sebagai pusat penyebaran pemikiran Islam, politik dan ilmu-ilmu agama di Negara Mesir serta dunia Islam keseluruhannya. Masjid ini mempunyai lima buah menara yang melambangkan zaman yang berlainan serta mempunyai 13 mihrab. Di dalam masjid terdapat sebuah perpustakaan yang sangat besar.

INSTITUSI KEILMUAN AL-AZHAR

Penekanan dalam melahirkan ilmuan amat dititikberatkan oleh Universiti Al-Azhar. Semenjak zaman pemerintahan kerajaan Ayyubiah (567-648 Hijrah bersamaan 1171-1250 Masihi) yang diketuai oleh Salahudin Yusuf Bin Ayub , Lembaga Pendidikan telah ditubuhkan untuk membuat kajian sehingga memberi kesan perubahan dalam institusi ini. Pengaruh Syiah dapat dibendung walaupun masih tetap dipelajari. Pengajian yang berorientasikan ahli-Sunnah wal-Jamaah telah dijalankan sehingga sekarang. Beliau telah meneroka pengkajian ilmu-ilmu yang merangkumi turath Islam seperti tafsir, hadith, fiqh, ilmu kalam, bahasa Arab dan sastera. Di samping itu, beliau juga meneroka ilmu aqli seperti falsafah, mantiq, sejarah, kesihatan, perubatan dan sebagainya.

Pada pemerintahan Mamalik, negara Mesir telah mengalami beberapa perubahan. Antaranya, di bawah pemerintahan Sultan Ad-Dhadir Barquq (748 Hijrah bersamaan 1382 Masihi) telah mengangkat Air Bahadir At-Thawasyi sebagai Rektor Pertama. Penyebaran ilmu semakin pesat sehingga ke Turki, selepas kemenangan Kerajaan Othmaniyah menewaskan kerajaan Mamalik.
Sultan Salim I telah membawa bersama pakar-pakar ilmuan dalam pelbagai bidang beserta kitab-kitab yang tidak ternilai harganya daripada perpustakaan Al-Azhar untuk dibawa ke Turki bagi memajukan kota raya yang pesat membangun di sana. Kegemilangan ilmu Islam makin digilap pada zaman keturunan Pasha yang diutus dari Turki. Mereka merupakan ulama’ yang disegani dan terkenal dengan sifat-sifat wara’ di samping ilmu yang luas.

Pada zaman pemerintahan Ali Pasha, beliau telah menggabungkan sistem pendidikan tradisional dan moden. Di zaman ini juga gelaran Syeikh Jami’ Al-Azhar telah diperkenalkan dengan memilih Syeikh Muhammad Al-Quraisy sebagai Syeikh Al-Azhar I. Sehingga sekarang terdapat 40 orang syeikh yang telah memimpin Al-Azhar dan Syeikh Al-Azhar sekarang ialah Dr Mohammed Syed Al-Tontowi.

Sistem pengajian yang berasaskan Teras Islam telah melahirkan ulama’ yang berkualiti menentang musuh-musuh Islam yang sentiasa membuat perancangan melemahkan umat Islam. Hal ini terbukti apabila berlakunya pemberontakan menentang penjajah Perancis pada Oktober 1798. Syeikh-syeikh Al-Azhar telah meniupkan semangat jihad menentang musuh-musuh Allah, di samping mereka sendiri turut serta dalam peperangan tersebut.

Di antara pemimpin yang terkenal ketika itu ialah Syeikh Mauruqi dan Syeikh Sulaiman Jausuqi. Detik sejarah ini berlaku di sekitar Al-Azhar dan Masjid Hussien. Ribuan kitab karangan ulama’ Al-Azhar telah dimusnahkan oleh penjajah Perancis dalam tragedy ini. Namun semangat yang meluap ini tidak pernah luntur. Demi memartabatkan maruah umat Islam, muncul seorang ulama’ yang gagah berani iaitu Sulaiman Al-Halbi. Kehebatan dan kegagahan beliau terbukti apabila beliau Berjaya menumpaskan ramai musuh termasuk Cilber, ketua penjajah Perancis di Kaherah pada 1800 Masihi.

Universiti Al-Azhar semakin masyhur dan diiktiraf kehebatannya apabila seorang rakyat Mesir iaitu Muhammad Ali Hakiman telah dilantik sebagai hakim untuk menentang penjajah Inggeris yang telah menghina Al-Azhar pada tahun 1805. Beliau merupakan hakim yang mendapat kelulusan Al-Azhar serta diberi mandate besar oleh rakyat Mesir sendiri pada ketika itu.

PENGAJIAN DI AL-AZHAR

1- Al-Azhar di Zaman Kerajaan Fatimiyyah
Menurut sejarah, proses pengajian Al-Azhar suatu masa dahulu adalah selari dengan sejarah masjid Al-Azhar sendiri. Pada awal pembinaannya pada tahun 975M bersamaan 365H, pengajian telah dimulakan dengan menggunakan kitab I’tisor, di mana ia merupakan kitab fiqh dalam kalangan pendukung Syiah. Pengajian ini dijalankan setelah mendapat arahan daripada Qadil Quda Abu Hassan Ali Bin Lukman Bin Al-Qaitawani. Pengajian tersebut diadakan setiap malam Selasa dan malam Jumaat.

Penambahan mata-mata pelajaran juga turut berlaku sehingga akhirnya ia telah menjadi sebuah institusi besar dan pertama yang membincangkan segala bidang-bidang ilmu agama termasuk riadhah, falaq, sastera dan sebagainya. Semua ini dilakukan hasil daripada pengembelengan tenaga segenap lapisan masyarakat khususnya dalam kalangan pemerintahan ulama’ dan pelajar untuk menyebarkan Islam.

2- Al-Azhar di Zaman Kerajaan Ayyubiah (567-648H / 1171-1250M)

Di zaman ini, pemerintahnya ialah Salahuddin Al-Ayyubi. Sistem pembelajaran yang berdasarkan mazhab ahli Sunnah wal Jamaah telah dikemaskini menjadi fiqh empat mazhab iatu Maliki, Syafie, Hambali dan Hanafi sebagai dasar pendidikan pada waktu itu. Pengajian ilmu yang berasaskan akal (aqli) seperti perubatan, falaq dan riadhah pula mengambil Dr Musa Bin Maimun sebagai tenaga pengajar. Dr Abdul Latif Al-Baghdadi pula menjadi tenaga pengajar dalam bidang ilmu kesusasteraan arab iaitu ilmu kalam, mantiq dan perubatan.

Sistem pembelajaran berbentuk kumpulan atau halaqah yang diamalkan iaitu syeikh akan duduk di tempat yang agak tinggi, di tepi tiang masjid dan dikelilingi oleh penuntut. Majlis pengajian tersebut bercirikan unsur-unsur peradaban Islam yang dimulakan dengan bacaan Bismillah, doa, selawat kepada Rasulullah SAW, seterusnya barulah kelas pengajian dimulakan. Selepas itu, syeikh akan membetulkan kesilapan bacaan dan tulisan penuntut-penuntutnya serta mengulang pelajaran yang lalu di samping menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh penuntut-penuntut.

Kesan serangan tentera Monggol yang dipimpin oleh Hulago Khan yang telah memusnahkan semua universiti di Baghdad telah melonjakkan serta menaikkan kegemilangan Universiti Al-Azhar pada ketika itu. Umat Islam mula mengalihkan pandangan mereka ke Mesir dan menjadikan Al-Azhar sebagai kiblat ilmu umat Islam. Ketika kehancuran Kota Baghdad, semua kitab-kitab Turath (Kitab Lama) yang dihasilkan oleh ulama’ulama’ telah dibakar dan Sungai Furat dan Dajlah bertukar daripada biru menjadi hitam akibat daripada pembuangan kitab-kitab yang telah dibakar. Maka bermulalah era baru pemindahan pusat keilmuan dari Baghdad ke Al-Azhar yang mula melahirkan pakar-pakar keilmuan Islam terulung ke pelusuk dunia Islam hari ini.

3- Al-Azhar di Zaman Kerajaan Othmaniyah
Kerajaan ini mula bertapak di Mesir pada tahun 1517 Masihi di bawah pimpinan Sultan Salim I yang telah Berjaya mengalahkan Kerajaan Mamalik yang berkuasa ketika itu. Walaupun beliau hanya bermastautin selama lapan bulan sebelum pulang ke Qastantiniyah, beliau menggunakan sepenuhnya ilmu yang ada demi kemajuan Islam. Beliau juga terkenal dengan sifat wara’, ‘alim, tawadhu’ dan amat menghormati ulama’. Di samping itu, beliau juga telah membawa ramai ilmuan Islam Al-Azhar termasuk kitab-kitab yang ada di perpustakaan Al-Azhar untuk dibawa ke sana. Hasilnya terbukti apabila bandar Qastantiniyah di Sepanyol terus berkembang pesat dan menaikkan lagi maruah Islam.

Di zaman pemerintahan Pasha, Jamie’ Al-Azhar telah menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan agama. Para ulama’ telah memberikan kedudukannya yang tinggi, disegani dan diutamakan, di samping mempunyai ilmu yang luas dan terkenal dengan sifat wara’ dan tawadhu’. Al-Azhar juga tidak pernah mengenepikan kaum wanita untuk mendalami bidang keilmuan.

Di zaman pemerintahan Ismail Pasha, beberapa sekolah wanita telah didirikan. Penggubalan undang-undang Jamie’ Al-Azhar pada tahun 1961M telah memberi peluang wanita secara langsung dalam bidang keilmuan. Maahad Khas untuk wanita telah dibina dengan tenaga pengajar yang terlatih serta dilantik daripada penuntut Al-Azhar sendiri. Sehingga sekarang, Al-Azhar memperuntukkan sebahagian perbelanjaan bagi membina bangunan –bangunan yang dikhususkan untuk kaum wanita, seperti bangunan di ‘Kuliyyat Al-Banat’ dan ada juga diperuntukkan di cawangan-cawangan lain seperti di Iskandariah dan lain-lain cawangan.

No comments: